Blog List

Thursday 31 January 2013

MIDA- INDUSTRI BERASASKAN KAYU

Industri berasaskan kayu di Malaysia terdiri daripada 
  1. Kayu bergergaji;
  2. Venir dan produk panel yang termasuk papan lapis dan produk panel berasaskan kayu diguna semula seperti papan partikel/papan serpai/papan gentian;
  3. Kayu kumai, produk tanggam dan pertukangan (BJC) seperti pintu/tingkap dan komponen-komponennya, panel dan papan lantai/parket; dan perabot dan komponen perabot.
Industri ini kebanyakannya dimiliki oleh rakyat Malaysia dan dianggarkan 80 peratus daripada syarikat-syarikat berasaskan kayu terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana, manakala bagi industri perabot, 90 peratus adalah perusahaan kecil dan sederhana.

Kebanyakan kilang papan, venir dan papan lapis terletak di Sabah dan Sarawak. Kilang-kilang di Sabah dan Sarawak menggunakan spesis kayu tropika bagi pengeluaran kayu bergergaji, venir papan lapis dan produk-produk panel bersalut venir lain. Lebih 70 peratus daripada 174 kilang papan lapis terletak di Sabah dan Sarawak, manakala bagi kayu kumai, daripada 352 kilang yang beroperasi, 157 terletak di Sabah dan 28 di Sarawak.

Kilang-kilang pemprosesan hiliran bagi pengeluaran kayu kumai, papan gentian, BJC serta perabot dan komponen perabot kebanyakannya terletak di Semenanjung Malaysia. Kilang-kilang ini terutamanya menggunakan kayu getah (Oak Malaysia) yang disumber daripada ladang-ladang yang mapan.

Pengilang-pengilang perabot Malaysia mengeluarkan rangkaian meluas perabot dari perabot pejabat, dapur, bilik tidur, bilik makan, bilik keraian, bilik tamu, perabot/sofa diupholdsteri, serta perabot luar rumah dan taman. Perabot dibuat bukan sahaja daripada kayu, tetapi juga semua jenis bahan seperti rotan, logam, fabrik, plastik, kaca, marmar dan bahan-bahan komposit lain. Pengilang-pengilang perabot terletak terutamanya di Johor, Selangor, Sarawak, Perak dan Melaka.

Prestasi Sektor 

Kayu bergergaji
Industri kayu bergergaji telah lama tertubuh di negara ini dengan 1,132 kilang papan beroperasi, iaitu 664 di Semenanjung Malaysia, Sabah (178) dan Sarawak (290). Eksport kayu bergergaji pada 2005 berjumlah RM3.47 bilion terutama ke Thailand, Republik Rakyat China, Belanda, Jepun dan Taiwan.

Produk Panel & Papan Lapis
Dalam sub-sektor produk panel, papan lapis kekal menjadi penyumbang signifikan (30.3peratus) kepada jumlah pendapatan eksport produk perkayuan. Rangkaian papan lapis yang dikeluarkan termasuk papan lapis permukaan venir biasa, papan lapis bersalut seperti papan lapis bersalut kertas bercetak dan poliester, papan lapis untuk kegunaan kerjabentuk konkrit dan papan lapis aplikasi marin. Papan lapis Malaysia menepati standard antarabangsa seperti Standard Pertanian Jepun (JAS), Standard British (BS) dan Standard Persatuan Produk Kayu Keras (IHPA) untuk pasaran Amerika Syarikat dan Standard Berharmoni Eropah (EN) untuk pasaran Eropah. Ketika ini, Malaysia adalah pengeksport terbesar papan lapis kayu tropika di dunia.

Papan Partikel
Memandangkan keperluan untuk memaksimumkan penggunaan sumber-sumber kayu, industri ini dipelbagaikan kepada pengeluaran produk-produk panel berasaskan kayu diguna semula yang bernilai tambah tinggi seperti papan partikel dan papan gentian berketumpatan sederhana. Industri papan partikel telah berkembang dan ketika ini terdapat 16 syarikat yang beroperasi. Industri ini, sejak beberapa tahun lalu berjaya mengeksport produk-produknya terutama untuk kegunaan dalam industri perabot. Pada 2006, eksport berjumlah RM256.7 juta dan destinasi utama adalah Republik Rakyat China, Republik Korea, Indonesia, Vietnam dan India. Kini, Malaysia adalah pengeksport utama bagi papan partikel dan papan partikel keluaran Malaysia menepati standard anatarabangsa seperti BS, EN dan Standard Perindustrian Jepun (JIS).

Papan Gentian Berketumpatan Sederhana (MDF)
Industri MDF ketika ini terdiri daripada 13 syarikat yang beroperasi, dengan sembilan (9) terletak di Semanjung Malaysia, tiga (3) di Sarawak dan satu di Sabah. Eksport pada 2006 berjumlah RM1 bilion, mewakili 5 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport perkayuan.

Ketika ini, Malaysia adalah pengeksport papan MDF kedua terbesar di dunia terutama ke Jepun, Republik Rakyat China, UAE, Vietnam dan Pakistan. Papan MDF Malaysia menepati standard antarabangsa seperti BS, standard Asia-Pasifik: Jepun, Australia dan New Zealand (JANS), dan standard EN. Sebilangan syarikat juga telah menerokai pengeluaran papan MDF berlamina/bercetak.

Produk Panel Bervenir
Di samping papan MDF, industri ini terus membangunkan produk venir tereka bentuk yang lain seperti kayu venir berlamina, jalur berpalang venir berlamina (LVB) dan sandwic venir berlamina (LVS) bagi memenuhi permintaan aplikasi struktur dan perindustrian. Industri ini menggabungkan teknologi moden dengan penggunaan sumber-sumber asli yang efisen untuk menghasilkan produk-produk ini untuk pasaran eksport. Selain faktor mesra alam, peningkatan struktur kualiti produk-produk ini bagi memenuhi keadaan iklim yang berbeza, menyebabkannya semakin digunakan dalam industri pembinaan.

Kayu Kumai dan BCJ
Produk-produk dalam kategori BCJ termasuk kayu kumai seni bina (kayu panel, kayu kambi, kayu salut, rel kerusi), pintu/tingkap dan aksesori, lantai kayu dan bingkai kayu. Eksport kayu kumai dan BCJ kebanyakannya ke Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Belanda. Pada 2006 (Nov), eksport kayu kumai berjumlah RM710 juta manakala eksport BCJ mencatat RM936 juta. Produk-produk utama di bawah kategori ini adalah pintu kayu dan lantai kayu yang secara terkumpul menyumbang dua pertiga kepada eksport BCJ.

Perabot Kayu
Perabot kayu merupakan sub-sektor kedua terbesar dalam industri berasaskan kayu selepas papan lapis dengan menyumbang 26.6 peratus kepada pendapatan eksport sektor perkayuan bagi tempoh Januari hingga November 2006. Dalam tempoh tersebut, Malaysia mengeksport RM5.6 bilion perabot kayu terutama ke Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom, Australia dan UAE (jumlah eksport perabot kayu pada 2005 adalah sebanyak RM7.5 bilion). 

 Industri perabot kayu Malaysia kebanyakannya berorientasikan eksport dengan lebih 90 peratus pengeluaran dieksport. Malaysia berada di tangga kesembilan sebagai pengeksport terbesar perabot kayu dan ketiga di Asia selepas Republik Rakyat China dan Indonesia, dengan eksport ke lebih 160 negara. Nilai eksport perabot kayu diunjurkan RM10 bilion menjelang 2010.

Antara perabot yang dieksport adalah perabot dapur, set bilik tidur, kerusi rehat dan perabot pejabat yang mana lebih 80 peratus diperbuat daripada kayu getah, iaitu sejenis kayu keras sederhana berwarna muda yang dikenali ‘Oak Malaysia’. Eksport perabot taman/luar rumah daripada kayu keras tropika kebanyakannya adalah untuk pasaran Eropah. Spesis kayu tropika keras yang digunakan sememangnya termasyhur kerana ketahanannya di bawah keadaan iklim yang berbeza. Di samping pasaran tradisional ini, perabot kayu Malaysia telah berjaya menembusi pasaran-pasaran di New Zealand, Amerika Selatan, Timur Tengah, Afrika dan Russia. Malaysia adalah pembekal utama perabot pejabat ke pasaran Timur Tengah.

Syarikat-syarikat perabot Malaysia yang berjumlah lebih 2,400 kebanyakannya terletak di Semenanjung Malaysia. Tumpuan tertinggi syarikat-syarikat ini adalah di Johor (Muar dan Kluang), Selangor (Klang dan Sungai Buloh) dan Melaka (Bukit Rambai).
Dengan cabaran globalisasi dan liberalisasi, pengilang-pengilang perabot kayu Malaysia telah memberi penekanan lebih terhadap kemasan, mereka bentuk dan pengeluaran produk berkualiti tinggi di samping memperkenalkan jenama tempatan, sebahagian besarnya untuk pasaran eksport. 

 Sesetengah syarikat ini telah beranjak daripada pembekalan perabot sedia dipasang kepada pengilangan perabot rekabentuk sendiri. Dengan menyedari keperluan untuk beranjak daripada mereka bentuk secara manual kepada penggunaan Reka Bentuk Dibantu Komputer (CAD), AutoCAD adalah salah satu sistem perisian popular yang kini digunakan oleh pengilang-pengilang perabot Malaysia. Bagi menyediakan reka bentuk yang bukan sahaja berfungsi tetapi juga estetik, syarikat-syarikat perabot Malaysia telah meneroka penggunaan lebih meluas bahan-bahan lain seperti logam, kaca, plastik dan bahan-bahan komposit lain, yang digabungkan dengan kayu getah atau spesis-spesis kayu lain, untuk pasaran dunia yang semakin canggih.

Terdapat lebih 1.6 hektar ladang-ladang kayu getah (Oak Malaysia) di negara ini, yang dianggarkan mengeluarkan 2 juta meter padu kayu setahun untuk kegunaan terutama dari Semenanjung Malaysia. Pengeluaran kayu bergergaji dari kayu getah di Semenanjung Malaysia meningkat daripada 49,929 meter padu pada 1995 kepada 251,790 meter padu pada 2005. Selain kayu getah, pengeluar-pengeluar perabot Malaysia juga menggunakan kayu balak tempatan (Balau, Kembang Semangkuk dan Nyatoh) dan diimport (Oak, Maple, Walnut, Mahogany, Rosewood dan Jati) bagi menawarkan pilihan yang lebih meluas.

Peluang Pelaburan Dalam Industri Berasaskan Kayu
Dalam usaha membangunkan industri berasaskan kayunya, Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan produk-produk hiliran nilai tambah. Ia dilaksanakan melalui pembangunan industri secara bersepadu, dengan menggabungkan kedua-dua aktiviti pengilangan serta penyelidikan dan pembangunan, termasuk mereka bentuk produk dan promosi pemasaran. 

 Langkah ini penting dalam pembangunan industri berasaskan kayu memandangkan persaingan semakin sengit dari negara-negara kos rendah dan kaya sumber, yang lambat laun akan menyinkir Malaysia dari pasaran peringkat bawahan. Bagi meningkatkan daya saing sektor perabot, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Promosi Perabot Malaysia (MFPC) untuk memberi fokus khusus kepada promosi sektor perabot.
Industri berasaskan kayu adalah salah satu industri berasaskan sumber yang berpotensi untuk berkembang. Bagi memaksimumkan penggunaan sumber kayu, industri ini telah beranjak kepada pengeluaran produk kayu tereka bentuk. Produk-produk kini dikeluarkan daripada pokok-pokok kayu yang bergaris pusat lebih kecil dan kualiti lebih rendah. Ia mesra alam sekitar, mudah digunakan dan kuat. Produk-produk ini telah mencipta satu standard prestasi yang baru dengan meminimumkan penggunaan sumber dan kecacatan pembuatan sambil meningkatkan ciri-ciri struktur.

Produk-produk kayu tereka bentuk terbahagi kepada dua kategori, iaitu produk kayu aplikasi struktur dan bukan struktur. Produk aplikasi struktur termasuk papan lapis aplikasi struktur, papan helaian berorientasi (OSB), bahan komposit aplikasi struktur, balak berlamina yang digam (glulam), kayu venir berlamina (LVL), kayu helaian ( selari atau berorientasi). Produk kayu tereka bentuk bukan aplikasi struktur adalah papan partikel dan papan berketumpatan sederhana (MDF). Ketika ini pengilang-pengilang kayu Malaysia mengeluarkan papan lapis aplikasi struktur, LVL, papan partikel dan MDF. Usaha-usaha perlu diambil untuk meneroka pengeluaran OSB dan glulam, yang kian popular di pasaran eksport.

Memandangkan bekalan kayu semakin merosot, industri panel berasaskan kayu diguna semula telah dipelbagaikan kepada pembuatan produk-produk komposit berasaskan kayu diguna semula nilai tambah seperti komposit polimer diperkuat gentian (FRPC). Antara sumber gentian yang boleh digunakan adalah gentian kelapa sawit, kenaf, sekam padi, gentian kayu (habuk kayu) dan sisa-sisa gentian pertanian lain.

Selain produk kayu tereka bentuk, produk-produk yang digalakkan untuk pembangunan dan diberikan insentif bagi sepanjang Koridor Barat Semenanjung Malaysia termasuk:-
- pengeluaran pintu kayu padat dan pintu-pintu berfungsi khusus lain, tingkap kayu padat dan parket berbilang lapis.
- Pembangunan produk-produk panel berasaskan diguna semula, seperti profil MDF, kulit pintu, kabinet bagi peralatan audio visual dan lain-lain.
- perabot dan bahagian perabot

Bagi Koridor Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, industri berasaskan kayu hiliran masih belum begitu maju. Semua produk berasaskan kayu, kecuali kayu bergergaji, venir dan papan lapis biasa, masih digalakan secara aktif dan layak untuk pertimbangan insentif cukai.

Penanaman kayu balak, buluh dan rotan digalakkan sebagai “industri strategik”.
Terdapat potensi yang meluas bagi pembangunan produk-produk menggunakan gentian bukan berasaskan kayu seperti biojisim kelapa sawit dan gentian kenaf bagi menggantikan kayu.




-Copyright© Malaysian Investment Development Authority (MIDA)

6 comments:

  1. apakah cara pemprosesan kayu di malaysia dari tahun 2000-2010? dimanakah saya boleh mendapatkan sumber untuk perkara tersebut?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mencarik pokok kayu getah? 10ekar di hulu langat. Call sy 0172533257 azmer

      Delete
  2. Salam, saya editor drpd Aras Mega (M) Sdn Bhd. Saya ingin mendapatkan keizinan drpd pihak tuan untuk menjadikan article ini sebagai satu rujukan dalam buku teks kementerian yang saya sedang buat sekarang. Kerjasama dari pihak tuan amat saya hargai. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumsalam.
    Silakan . Saya hanya berkongsi maklumat tambahan sebagai rujukan para Pelajar .

    ReplyDelete
  4. Saya mempunyai 17ekar tanah layu getah tua di Sabah..kawasan kawang.. kilang berminat membeli sila hubungi saya.. 0135580837 Alex.. ruding sampai jadi..

    ReplyDelete
  5. Saya kilang papan ifwat di bukit rambai melaka, membeli kayu log getah dan tropika, menjual papan kayu getah dan tropika...019-6556527

    ReplyDelete

Advantages and Disadvantages of Fasting for Runners

Author BY   ANDREA CESPEDES  Food is fuel, especially for serious runners who need a lot of energy. It may seem counterintuiti...